eMap CPS

 

Penggunaan CPS kini diperluaskan dengan penyediaan modul penjualan pelan digital maklumat perancangan secara atas talian. Tujuan perluasan ini adalah untuk meningkatkan perkhidmatan CPS kepada para pelanggannya selari dengan Agenda Nasional iaitu pelaksanaan pendigitalan yang meluas di sektor awam. Justeru itu, kini warga kota bukan sahaja boleh mengakses maklumat yang dipaparkan di dalam CPS malah boleh mendapatkan data tersebut melalui modul penjualan yang disediakan.

Reka bentuk pembangunan sistem ini telah mengambilkira aspek kesediaan integrasi dengan sistem-sistem perbandaran yang lain. Ia juga sedia untuk dikongsi dan diperkembangkan kepada mana-mana agensi atau pihak berkuasa tempatan di Malaysia yang ingin membangunkan sistem pemetaan seperti CPS. Antara integrasi yang telah berjaya dilaksanakan adalah seperti Sistem Maklumat Bersepadu Pemilikan Hartanah dan Pembangunan Tanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kementerian Wilayah Persekutuan, Sistem Kawalan Pembangunan (SKP) dan Building Control 1 Data System, DBKL.

Dengan adanya perkhidmatan penyampaian maklumat perancangan secara atas talian ini, CPS dilihat sebagai salah satu usaha yang baik dalam menggerakkan strategi DBKL sebagaimana yang diterjemahkan di dalam Kuala Lumpur Smart City Masterplan 2025 dan Pelan Induk Masyarakat Rendah Karbon 2030. Sistem ini telah memberikan penjimatan dari aspek kos pengeluaran cetakan pelan, kos mobiliti pengguna dalam mendapatkan maklumat perancangan dan secara tidak langsung menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon di Kuala Lumpur pada masa akan datang.